Thursday, November 1, 2018

Ahli Falsafah Abad Pertengahan : Ibnu Khaldun



IBNU KHALDUN

Wan Nur Alya Wan Suhaimi

   Kegemilangan tamadun Islam telah membariskan beberapa sarjana Islam yang masyhur seperti Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, Ibnu Batutah, Ibnu Rush, Al-Farabi dan Ibnu Taimiyyah. Dari barisan sarjana Islam tersebut, Ibnu Khaldun merupakan ilmuwan dalam bidang sejarah dan sosiologi dan turut dikenali sebagai Waliyuddin. Nama lengkap Ibnu Khaldun ialah ‘Abd al-Rahman Ibnu Muhammad Ibnu Muhammad Ibnu Muhammad Ibnu al-Hassan Ibnu  Muhammad Ibnu Jabir Ibnu Muhammad Ibnu Ibrahim Ibnu ‘Abd Rahman Ibnu Khaldun. Beliau dilahirkan di Tunisia pada 1 Ramadhan 732 H bersamaan 27 Mei 1332M dan berketurunan Arab Yaman. Beliau meninggal dunia di Kāherah, Mesir pada tahun 909H bersamaan 1406M ketika berusia 87tahun. Masyhur sebagai tokoh yang menguasai pelbagai bidang ilmu, Ibnu Khaldun merupakan seorang yang tekun dan gigih dalam mencari ilmu. Beliau telah mempelajari asas agama dan bahasa Arab daripada bapanya dan mendalami ilmu hadis daripada Muhamad bin Abdul Muhaimin. Di samping itu, beliau juga mempelajari ilmu – ilmu mantik, falsafah, sains dan matematik daripada Muhammad Bin Ibrahim al–Hambali. Antara guru yang menjadi rujukan beliau semasa di universiti ialah Lisanu Addin bin al–Khatib dan Ahmad Bin al–Qasar.
Reputasi Ibnu Khaldun merentasi zaman dan dikagumi oleh golongan bijak pandai lantaran kearifan beliau dalam bidang sejarah, falsafah sejarah, sosiologi, ekonomi, geografi, dan politik. Sebagai sejarawan, Ibnu Khaldun dianggap istimewa kerana kemampuannya untuk melontarkan dapatan sejarah secara kritis dan kritikal. Bahkan, karya terulung beliau bertajuk Mukadimah menggabungkan aspek sejarah dan sosiologi untuk mendalami secara bernas pola organisasi politik dan sosial. Buku tersebut telah mempelopori perspektif baru dalam bidang sejarah dan sosiologi, malahan telah digunakan oleh sejarawan tersohor seperti Mustafa Naima untuk mengkaji perkembangan dan kejatuhan empayar Uthmaniah.
Di samping gaya penulisan kritikal dan menarik, Ibnu Khaldun turut menghasilkan penyelidikan yang ditunjangi dua aspek penting iaitu sifat-sifat semula jadi dan sebab-sebab disebalik sejarah. Ibnu Khaldun berpegang bahawa sejarah perlu difahami secara luaran (am) dan juga dalaman (khas) iaitu faktor yang mendorong kepada sesuatu kejadian seperti latar budaya masyarakat dan sifat-sifat manusia. Penerapan nilai kemanusiaan merupakan ciri utama prinsip yang dipegang Ibnu Khaldun iaitu kesatuan di antara manusia dan sejarah, di mana perkaitan di antara kejadian sejarah di dalam penulisan beliau menitik beratkan unsur logik dan realistik. Unsur tersebut tidak hanya terbatas dalam bidang sejarah, malah turut digunakan beliau untuk menghasilkan teori dan kaedah ekonomi yang telah meletakkan nama beliau sebagai pakar ekonomi terulung Islam. Beliau merupakan individu yang bertanggungjawab memperkenalkan teori keseimbangan tawaran dan permintaan yang diguna secara meluas dalam semua aspek ekonomi.
Kehilangan kedua ibu bapanya ketika berusia 17 tahun, Ibnu Khaldun telah meneruskan tradisi keluarganya dengan menceburi bidang politik. Beliau pernah menyandang beberapa jawatan penting di beberapa negara sekitar Afrika Utara dan Andalusia lantaran kemahiran beliau untuk menghuraikan sesuatu perkara secara kritis. Pencapaian ini telah melonjakkan beliau sebagai politikus yang berwibawa. Secara kesimpulannya, Ibnu Khaldun merupakan tokoh ilmuwan Islam yang telah diakui oleh masyarakat Islam dan Barat. Kebolehan dan ketokohan beliau disebut sehingga kini sebagai salah seorang individu ulung yang telah menyumbang kepada pengenalan beberapa teori dan asas penyelidikan malar hijau.

RUJUKAN
Mohammad Abdullah Enan. 2012. Ibnu Khaldun : Riwayat Hidup & Karyanya.
Mihas Grafik Sdn.Bhd: Seri Kembangan, Selangor.
Ahmad Sunawari Long. 2015. Falsafah Ibnu Khaldun. MPH Group Printing (M) Sdn.Bhd:
Kuala Lumpur.