IBNU
KHALDUN
Wan Nur Alya Wan
Suhaimi
Kegemilangan tamadun Islam telah membariskan beberapa
sarjana Islam yang masyhur seperti Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, Ibnu Batutah, Ibnu
Rush, Al-Farabi dan Ibnu Taimiyyah. Dari barisan sarjana Islam tersebut, Ibnu
Khaldun merupakan ilmuwan dalam bidang sejarah dan sosiologi dan turut dikenali
sebagai Waliyuddin. Nama lengkap Ibnu Khaldun ialah ‘Abd al-Rahman Ibnu
Muhammad Ibnu Muhammad Ibnu Muhammad Ibnu al-Hassan Ibnu Muhammad Ibnu
Jabir Ibnu Muhammad Ibnu Ibrahim Ibnu ‘Abd Rahman Ibnu Khaldun. Beliau dilahirkan di Tunisia pada 1 Ramadhan 732 H bersamaan
27 Mei 1332M dan berketurunan Arab Yaman. Beliau meninggal dunia di Kāherah,
Mesir pada tahun 909H bersamaan 1406M ketika berusia 87tahun. Masyhur sebagai
tokoh yang menguasai pelbagai bidang ilmu, Ibnu Khaldun merupakan seorang yang
tekun dan gigih dalam mencari ilmu. Beliau telah mempelajari asas agama dan
bahasa Arab daripada bapanya dan mendalami ilmu hadis daripada Muhamad bin
Abdul Muhaimin. Di samping itu, beliau juga mempelajari ilmu – ilmu mantik,
falsafah, sains dan matematik daripada Muhammad Bin Ibrahim al–Hambali. Antara
guru yang menjadi rujukan beliau semasa di universiti ialah Lisanu Addin bin
al–Khatib dan Ahmad Bin al–Qasar.
Reputasi
Ibnu Khaldun merentasi zaman dan dikagumi oleh golongan bijak pandai lantaran
kearifan beliau dalam bidang sejarah, falsafah sejarah, sosiologi, ekonomi,
geografi, dan politik. Sebagai sejarawan, Ibnu Khaldun dianggap istimewa kerana
kemampuannya untuk melontarkan dapatan sejarah secara kritis dan kritikal.
Bahkan, karya terulung beliau bertajuk Mukadimah menggabungkan aspek sejarah dan
sosiologi untuk mendalami secara bernas pola organisasi politik dan sosial.
Buku tersebut telah mempelopori perspektif baru dalam bidang sejarah dan
sosiologi, malahan telah digunakan oleh sejarawan tersohor seperti Mustafa
Naima untuk mengkaji perkembangan dan kejatuhan empayar Uthmaniah.
Di
samping gaya penulisan kritikal dan menarik, Ibnu Khaldun turut menghasilkan
penyelidikan yang ditunjangi dua aspek penting iaitu sifat-sifat semula jadi
dan sebab-sebab disebalik sejarah. Ibnu Khaldun berpegang bahawa sejarah perlu
difahami secara luaran (am) dan juga dalaman (khas) iaitu faktor yang mendorong
kepada sesuatu kejadian seperti latar budaya masyarakat dan sifat-sifat
manusia. Penerapan nilai kemanusiaan merupakan ciri utama prinsip yang dipegang
Ibnu Khaldun iaitu kesatuan di antara manusia dan sejarah, di mana perkaitan di
antara kejadian sejarah di dalam penulisan beliau menitik beratkan unsur logik
dan realistik. Unsur tersebut tidak hanya terbatas dalam bidang sejarah, malah
turut digunakan beliau untuk menghasilkan teori dan kaedah ekonomi yang telah
meletakkan nama beliau sebagai pakar ekonomi terulung Islam. Beliau merupakan
individu yang bertanggungjawab memperkenalkan teori keseimbangan tawaran dan
permintaan yang diguna secara meluas dalam semua aspek ekonomi.
Kehilangan
kedua ibu bapanya ketika berusia 17 tahun, Ibnu Khaldun telah meneruskan
tradisi keluarganya dengan menceburi bidang politik. Beliau pernah menyandang
beberapa jawatan penting di beberapa negara sekitar Afrika Utara dan Andalusia
lantaran kemahiran beliau untuk menghuraikan sesuatu perkara secara kritis.
Pencapaian ini telah melonjakkan beliau sebagai politikus yang berwibawa.
Secara kesimpulannya, Ibnu Khaldun merupakan tokoh ilmuwan Islam yang telah diakui
oleh masyarakat Islam dan Barat. Kebolehan dan ketokohan beliau disebut
sehingga kini sebagai salah seorang individu ulung yang telah menyumbang kepada
pengenalan beberapa teori dan asas penyelidikan malar hijau.
RUJUKAN
Mohammad Abdullah Enan. 2012. Ibnu Khaldun
: Riwayat Hidup & Karyanya.
Mihas Grafik Sdn.Bhd: Seri Kembangan, Selangor.
Ahmad Sunawari Long. 2015. Falsafah Ibnu
Khaldun. MPH Group Printing (M) Sdn.Bhd:
Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment